Pada kesempatan yang ada dalam sidang MMN yang berlangsung kini, isu kepulauan Spratly yang nampaknya semakin meruncing perlu diambil perhatian oleh ahli MMN. Mesti diingat bahawa Brunei juga memiliki kepentingan sebagai salah sebuah negara yang mempunyai tuntutan ke atas sebahagian dari kepulauan tersebut.

Bukan sahaja dari segi kepentingan ekonomi (simpanan minyak dan gas di kepulauan Spratly dijangkakan melebihi Kuwait!), malah yang lebih utama merupakan aspek keselamatan nasional negara Brunei yang mungkin sahaja akan tergugat sekiranya pertelingkahan di kepulauan tersebut tidak berjaya diselesaikan secara damai.

Cuba bayangkan saja jarak dari kepulauan Spratly ke perairan Brunei yang hanya dua jam dengan menaiki bot laju. Jika tercetusnya konflik bersenjata di antara kuasa besar China dengan negara jiran kita yang lain sudah tentu bahang daripada pertembungan tersebut akan memberi kesan negatif kepada tanah air kita ini.

Oleh yang demikian ahli MMN sewajarnya memberikan tumpuan khusus kepada isu yang nyata mengimpak keselamatan serantau ini dalam perbincangan / perdebatan mereka. Mereka harus lebih prihatin dan proaktif terhadap isu-isu besar semacam ini. Manfaatkanlah platform MMN sebaiknya dan ambil inisiatif sendiri, janganlah setakat menunggu titah dari Kebawah DYMM baru hendak bertindak.

http://rumpunsuara.blogspot.com/2012/03/brunei-perlu-lebih-peka-terhadap-isu.html